Posted by: umrahakib | 31 Ogos 2009

20 Ramadhan: Pembukaan Mekah

Kita sudah masuk ke 10 malam yang terakhir bulan Ramadhan. Bermulalah pencarian malam Lailatul Qadr kepada semua muslimin. Moga Allah mengurniakan kemuliaan Lailatul Qadr kepada kita semua.

20 Ramadhan tahun 8 hijrah, tarikh peristiwa Pembukaan Mekah. Peristiwa besar ini berlaku dan memberikan kepada kita banyak pengajaran dari sudut haraki dan tarbawi. Pengajaran yang banyak tersebut menjadikan peristiwa ini sebagai salah satu peristiwa penting di dalam bulan Ramadhan selain dari peristiwa Perang Badar dan peristiwa Nuzul al-Quran.

Kebangkitan Kuasa Baru

Quraisy tidak pernah menyangka ini akan berlaku. Di awal kemunculan Islam, mereka hanya memandangnya sebagai sebahagian golongan ‘Hanif’. Seksaan demi seksaan yang dilakukan dijangka dapat mematikan kemunculan ini. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Pakatan untuk membunuh Rasulullah s.a.w. di ambang peristiwa hijrah juga rupa-rupanya tidak mendatangkan hasil. Tetapi mereka masih tidak kecewa, lalu di awal penubuhan negara Islam Madinah, mereka masih yakin dapat meruntuhkannya. Tetapi selepas satu demi satu peperangan, bermula dari Badar, Uhud dan seterusnya ke Khandak, apa yang mereka dapati adalah semakin hari kekuatan Islam semakin sukar untuk ditumpaskan. Walau pun ada sedikit sinar kemenangan buat mereka di Uhud, tetapi kekalahan memalukan di Khandak setelah pakatan dengan kabilah Arab dan Yahudi dilakukan seolah-olah menutup harapan mereka. Pola berubah. Tentera Islam berubah dari posisi mempertahankan diri kepada posisi menyerang. Manakala Quraisy berubah dari posisi menyerang kepada posisi mempertahankan diri. Satu pencapaian bagi tentera Islam yang tidak pernah mereka fikirkan.

Perjanjian Hudaibiah adalah bukti perubahan posisi tersebut. Apa yang mampu dilakukan oleh kaum Quraisy hanyalah meminta Rasulullah s.a.w. agar bersetuju untuk melakukan perjanjian damai dan gencatan senjata. Sekali lagi pencapaian baru dicapai oleh kaum muslimin. Kaum muslimin, daripada kaum yang ditindas dan tidak diberikan hak bercakap, mereka dirayu agar tidak menuju ke Mekah. Itulah yang berlaku kepada Quraisy. Mereka tidak lagi mampu untuk mengangkat senjata dan meneruskan peperangan.

Perjanjian damai dan gencatan senjata ini adalah suasana yang cukup selesa bagi kaum yang lemah. Tetapi sikap degil dan terburu-buru sebahagian pihak di dalam kaum Quraisy menjadikan mereka tersepit di dalam masalah baru. Tindakan membunuh beberapa orang daripada Bani Khuzaah, sekutu kaum muslimin amat-amat disesali oleh Abu Sufyan, ketua kaum Quraisy. Abu Sufyan memberanikan diri menuju ke Madinah merayu agar diberikan kemaafan atas keterlanjuran yang dilakukan. Tidak ada sesiapa yang melayannya. Rayuan yang menjatuhkan air muka seorang ketua kaum yang hebat ini berakhir dengan kekecewaan.

Peristiwa Pembukaan Mekah adalah kemuncak kepada kekecewaan tersebut. Ketika Abu Sufyan yang masih baru memeluk Islam melihat satu demi satu qabilah-qabilah Islam berjalan di hadapannya, secara spontan keluar dari mulutnya: “Aku lihat tidak ada sesiapa pun yang mempunyai kekuatan untuk mengalahkan mereka. Demi Allah wahai Abu al-Fadhl (Abbas bin Abd Mutalib), kerajaan anak saudaramu telah menjadi satu kerajaan yang agung.”

Berinteraksi Dengan Fitrah

Abu Sufyan r.a. memeluk Islam. Beliau adalah ketua kaum Quraisy ketika itu. Selain daripadanya, beberapa pimpinan Quraisy yang lainnya juga memeluk Islam. Di antara mereka adalah Sofwan bin Umayyah, Ikrimah bin Abu Jahl dan Suhail bin Amru. Kesemua mereka adalah peribadi hebat yang tidak pandai berpura-pura. Mereka memerangi Islam kerana yakin kepalsuan nubuwah dan masuk Islam hanya setelah yakin kebenarannya. Masing-masing mempunyai kisah keislamannya yang tesendiri dan bersama-sama Rasulullah s.a.w. melakarkan kemenangan Islam selepas itu.

Abu Sufyan r.a. disebut oleh Abbas r.a. sebagai seorang lelaki yang sukakan kemegahan diri. Lalu Rasulullah s.a.w. memberikannya satu pengiktirafan untuk dia bermegah dengan pengiktirafan tersebut. “Sesiapa yang masuk ke rumah Abu Sufyan dia aman. Sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dia aman. Sesiapa yang masuk ke dalam masjid dia aman.” Apakah bezanya berlindung di rumah Abu Sufyan dan berlindung di rumah sendiri jika kedua-duanya adalah tempat yang memberikan keamanan? Tetapi kebijaksanaan Rasulullah s.a.w. di dalam menyusun kata-kata yang memenuhi fitrah Abu Sufyan telah menjinakkan ketua kaum Quraisy ini.

Ada pun Ikrimah anak lelaki Abu Jahal, kebijaksanaan dan keberanian isterinya telah menganugerahkan Islam kepadanya. Beliau sudah pun lari ke Yaman dan berniat untuk mengakhiri hayatnya di sana. Isterinya, Ummu Hakim memohon kemaafan Rasulullah s.a.w. ke atas suaminya dan mencarinya untuk mengkhabarkan kepadanya keamanan yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. Keamanan yang diberikan kepada Ikrimah sebelum keislamannya membuka pintu kepada Ikrimah untuk bertemu Rasulullah s.a.w. di Mekah mengisytiharkan keislamannya. Beliau boleh meneruskan kedegilannya, tetapi pengisytiharan keamanan khas buatnya itu benar-benar menyentuhnya. Apabila pulang bertemu Rasulullah s.a.w., sekali lagi Rasulullah s.a.w. memberikan sentuhan kepadanya. “Akan datang kepadamu Ikrimah sebagai seorang mukmin muhajir. Janganlah kamu semua mencela ayahnya. Sesungguhnya mencela orang yang mati akan menyakitkan orang yang masih hidup dan celaan itu tidak akan sampai kepada yang mati.” Para sahabat r.a. yang mendengar arahan tersebut menyambut Ikrimah dan isterinya dengan mesra ketika mereka sampai. Apakah pilihan lain bagi seseorang yang telah diberikan keamanan dan sambutan mesra oleh musuhnya ketika dia berada di posisi lemah? Ikrimah r.a. memilih untuk memeluk Islam dan berjuang bersama Rasulullah s.a.w. Beliau mengotakan janjinya apabila menjadi salah seorang panglima perang di dalam peperangan memerangi golongan murtad di zaman Abu Bakar r.a.

Sofwan bin Umayyah meminta dua bulan tempoh keamanan daripada Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w. memberikan empat bulan tempoh keamanan. Sebelum peperangan Hunain, Rasulullah s.a.w. bertemu dengan Sofwan dan meminjam daripadanya 5,000 dirham dan beberapa baju besi untuk digunakan di dalam peperangan. Sofwan bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: “Adakah kamu memaksaku wahai Muhammad?” Rasulullah s.a.w. berlembut kepadanya dan berkata: “Tidak. Ia adalah pinjaman yang akan dibayar kembali.” Rasulullah s.a.w. membayar kembali selepas perang Hunain beserta ghanimah (harta rampasan) daripada perang Hunain. Tindakan itu membuka pintu hidayah kepadanya. Beliau berkata: “Demi Allah, tidak ada seorang pun di atas muka bumi yang lebih aku benci dari Muhammad. Baginda s.a.w. terus menerus memberikan ghanimah Hunain sehingga tidak ada seorang pun di atas muka bumi yang lebih aku sukai dari Muhammad.”

Suhail bin Amru seorang yang cerdik. Beliau adalah wakil Quraisy di dalam perjanjian Hudaibiah. Ketika perjanjian itu ditulis ‘Bismillahirrahmanirrahim’, beliau berkata: “Allah kami tahu. Tetapi ar-Rahman dan ar-Rahim kami tidak tahu” dan mengarahkan agar dipadam kalimah ar-Rahman dan ar-Rahim. Ketika ditulis ‘Muhammad Rasulullah’, beliau mengarahkan dipadamkan kalimah ‘Rasulullah’ sambil berkata: “Kalau kami mengakuimu sebagai Rasulullah, nescaya tidak berlaku peperangan di antara kami dan kamu.” Pujian Rasulullah s.a.w. terhadap kecerdikan Suhail membuka pintu hatinya untuk memeluk Islam. Rasulullah s.a.w. berkata kepada anaknya, Abdullah: “Sesiapa yang berjumpa dengan Suhail bin Amru pasti tidak akan mengalihkan pandangan darinya. Demi Allah, Suhail mempunyai kecerdikan dan kemuliaan. Orang seperti Suhail tidak sepatutnya menjahili Islam.”

Bertasbih dan Beristighfarlah Kerana Kemenangan Dari Allah

Kemenangan di peristiwa Pembukaan Mekah mempunyai banyak lagi pengajaran lain dari sudut yang pelbagai. Kemenangan ini tidak disambut oleh Rasulullah s.a.w. seumpama bangsa lain menyambut kemenangan tentera mereka. Sebaliknya Allah mengajar satu sunnah di dalam menyambut kemenangan di dalam firmanNya:

“Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah). Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.” (an-Nasr: 1-3)

Posted by: umrahakib | 11 Ogos 2009

KHUSYUK DALAM SOLAT

IMAM AL-GHAZALI menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk sembahyangnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati Allah SWT, ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Apabila lalai ketika menunaikan solat bererti orang tersebut tidak akan berasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar.

Solat yang khusyuk ialah mereka yang sentiasa sedar dan mengikuti segala pengertian dari setiap kalimah yang di ucapkan di dalam solatnya. Justeru itu apabila ia membaca Fatihah, hatinya akan mengikuti dan memahami makna setiap kalimah yang terucap. Misalnya apabila mereka membaca ayat keempat dari Surah Al-Fatihah yang bermaksud:

“Tuhan yang memiliki hari Akhirat.”
Copy/Paste Dari: http://www.familiazam.com
Maka tergambar segala kalut sibuk dan huru-hara manusia serta bersesak di padang Masyhar, ia akan terasa diri semakin kerdil dan lemah disisi Allah SWT.

Apabila membaca ayat kelima dari surah Al-Fatihah yang bermaksud :

“Engkaulah yang kusembah dan Engkaulah tempatku bermohon.”

Bererti mereka telah memberikan kesetiaan dan pengabdian hanya kepada Allah, bukannya menjadi penyembah hawa nafsu atau yang lain-lainnya. Akhirnya mereka tidak ada keinginan untuk melakukan perkara keji dan mungkar, kerana melakukan perbuatan keji bererti mereka telah menjadi hamba nafsu, yang demikian adalah bercanggah dengan ucapannya yang mengaku bahawa dia hanya menyembah Allah SWT semata-mata.

Selepas itu mengamati lain-lain bacaan dalam sembahyang dengan khusyuk, yang mengandungi berbagai bacaan dan doa-doa yang memperlihatkan kebesaran Tuhan. Jika difahami sungguh-sungguh cukuplah kesemua itu akan menghakis sikap-sikap hodoh yang ada pada diri manusia itu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Berapa banyak orang yang mendirikan solat, tetapi yang di perolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya. “

Hadis tersebut menggambarkan betapa banyak sembahyang yang didirikan oleh seseorang itu, tetapi malangnya ia tidak memperolehi pahala melalui sembahyang itu.
Copy/Paste Dari: http://www.familiazam.com
Firman Allah yang bermaksud :

“Maka kecelakaanlah bagi orang-orang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya.” [Surah al-Ma'un : ayat 4-5]

Nabi s.a.w bersabda lagi yang bermaksud :
“Tidak ada habuan bagi seseorang hamba dalam sembahyangnya kecuali sekadar mana yang ia ingat.”

Hadis tersebut menjelaskan bahawa solat seseorang yang dalam keadaan lalai, sesungguhnya tidak mempunyai sebarang nilai kebaikan di sisi Allah SWT. Malah solatnya itu akan sekadar menjadi kayu pengukur, jika seseorang ingin tahu sekadar mana pahala yang di perolehi dan sebanyak mana pula yang kosong, maka selepas solat cubalah adakan muhasabah, sebanyak manakah masa yang dia berada dalam keadaan khusyuk, iaitu ingat segala perbuatan dan ucapan mereka dalam sembahyang itu, atau sebanyakmana pula yang lalai. Kalau banyak masa lalai maka setakat baki yang sedikit itu tidak payahlah untuk menunggu akhirat bagi melihat pahala
solat itu, sebaliknya didunia ini pun kita sudah boleh mengagak apa yang kita perolehi dari solat yang tidak khusyuk itu.
Sesungguhnya solat itu tidak sama dengan ibadah yang lain.Jika dibandingkan dengan ibadah puasa, memang dalam ibadah puasa tidak ada khusyuk, tetapi puasa yang memenuhi segala syarat akan kelihatan kesannya dari puasanya itu. Disebabkan menahan lapar dan dahaga bukan sahaja mereka akan kelihatan letih dan kurang bermaya, tetapi juga mereka kelihatan sebagai seorang yang tinggi pekertinya, senantiasa menjaga perkara yang boleh membatalkan puasa dan juga pahala puasa seperti menjaga lidahnya dari mengumpat dan mengeluarkan kata-kata yang tidak berfaedah.
Begitu juga zakat, walaupun ketika melakukan ibadah zakat itu tidak disertai dengan khusyuk namun maksud kepada penunaian zakat itu kelihatan juga. Menunaikan zakat dapat menghakis sifat bakhil seseorang. Orang-orang yang dikuasai oleh sifat bakhil tidak mungkin mampu menunaikan zakat.
Demikian juga dengan ibadah haji, walaupun ketika melakukan ibadah haji seseorang itu dalam keadaan lalai kerana ibadah haji melibatkan dua perkara iaitu tubuh badan dan harta benda. Sama ada menunaikan haji itu dalam keadaan lalai dan sebagainya, namun kesannya dari ibadah haji itu jelas ketara, kerana ia terpaksa membelanjakan wang beribu-ribu ringgit. Tubuh badan terasa letih dan wang ringgit habis.

Sebaliknya ibadah solat ini amat berbeza sekali dengan semua ibadah yang dinyatakan itu. Menurut Imam al-Ghazali bahawa solat itu merupakan “munajat” (berdialog dan berbisik) seorang hamba terhadap Tuhannya. Apabila solat itu sebagai munajat sudah tentu dilakukan dengan penuh kesedaran di samping khusyuk dan tawadhuk. Bagaimana mungkin seorang yang lalai boleh berbisik atau berdialog dengan Allah SWT.

Orang yang mengerjakan solat dalam keadaan lalai sama keadaannya orang yang mengigau ketika tidur, walaupun mungkin ia menyebut Allahu Akbar dan juga lain-lain kalimah yang memuji keagungan Allah SWT, seperti bertasbih mensucikan Allah, bertahmid memuji Allah namun semua itu tidak termasuk lansung dalam pengertian munajat kepada Allah kerana sebenarnya orang itu sedang mengigau. Sesungguhnya orang mengigau itu adalah orang yang bertutur di luar kesedaran.

Khusyuk menjadi syarat sama ada solat seseorang itu akan diterima oleh Allah SWT. Jika khusyuk tidak wujud dalam diri orang yang menunaikan solat, maka ruang kosong itu pasti terisi dengan sifat lalai. Orang yang lalai tidak akan merasai keagungan Allah SWT, sekalipun lidahnya mengucapkan kalimah-kalimah yang mengandungi segala puji-pujian terhadap Allah.

Segala puji-pujian yang ditujukan kepada Allah SWT bukan saja melalui ucapan lisan, tetapi juga dengan bahasa hati. Apabila hati lalai ia
akan menjadi hijab yang menghalang seseorang itu untuk menghampiri Alah, meskipun Allah SWT menyatakan bahawa ia lebih hampir daripada saraf dan urat seseorang.

Firman Allah Taala yang berbunyi:
“Ketahuilah dengan menyebut nama Allah itu dapat menenangkan hati.” [Surah Ar-Ra'adu : ayat 28]

Dan ketahuilah, solat adalah ibadah utama yang akan dihisab terlebih dahulu di akhirat oleh Allah SWT, berbanding dengan amalan-amalan yang lain. Sekiranya solat seseorang itu dalam keadaan sempurna, maka barulah dihitung pula amalan yang lain.

Posted by: umrahakib | 8 Ogos 2009

ISMA Bidas Kenyataan Jeff Ooi

Ustaz Abdullah Zaik

Ustaz Abdullah Zaik

Bandar Baru Bangi, 6 Ogos – ISMA menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi yang mengaitkan syariat Islam dengan ekstremisme sebagai melampau, mengelirukan, berbaur jahat dan mengguris sensitiviti umat Islam di negara ini.

Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, tindakan Ooi tersebut dilihat sebagai tidak sedarkan diri dan anti-Islam kerana menganggap Islam sebagai ekstrem, sedangkan dia sendiri merupakan seorang warganegara sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi.

Dalam kenyataannya kepada sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 2 Ogos lalu, Ooi mendakwa Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Mohd Razali Abdullah sebagai seorang ektremis agama hanya kerana menjadi ahli Jemaah Islah Malaysia (JIM), sebuah NGO Islam.

Sehubungan dengan itu, Ooi mengkritik pihak kerajaan negeri kerana telah membuka ruang bagi membolehkan seorang ekstremis Islam untuk menyusup masuk ke dalam sistem kerajaan tempatan.

“Kenyataan Jeff Ooi tersebut menggambarkan seolah-olah syariat Islam tidak layak diguna pakai dalam sistem pentadbiran, sedangkan Lim Guan Eng dan Kerajaan Negeri Pulau-Pinang pernah mewar-warkan untuk mengikut jejak langkah pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz,” kata Ustaz Abdullah Zaik.

Menurut beliau lagi, Ooi telah menghina umat Islam, menimbulkan kemarahan dan mengguris perasaan mereka. Tindakannya juga memperlihatkan sikap melampau walaupun baru memegang sedikit kuasa.

Justeru itu, ISMA mendesak supaya Jeff Ooi menarik balik kenyataannya yang mengaitkan syariah Islam sebagai ekstremis dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam, khususnya di negara ini.

“Lim Guan Eng juga harus bertanggungjawab dalam hal ini kerana bagaimana mungkin kerajaan negeri pimpinan beliau dapat mencontohi pentadbiran Umar Abdul Aziz jika ada di kalangan anggotanya yang bersikap anti-Islam,” tambah Ustaz Abdullah Zaik.

Posted by: umrahakib | 22 Julai 2009

Israk Mikraj: Pembebasan Al-Aqsa dijanji Allah

2315700056_eaae906406

 

 

“Mahasuci Tuhan yang telah mengIsrakkan hambaNya dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya …” (Surah Al-Israk:1). (foto: Masjid Kubah Batu (Pelancaran Israk Mikraj) atau “Dome of the Rock” di tengah-tengah dataran luas Masjid Al-Aqsa, Jerusalem, Palestin).

Bulan Rejab adalah bulan Israk Mikraj. Ia bulan Masjidil Aqsa dan Palestin di bumi Syam, kerana tempat dan negeri yang berkat ini menjadi pilihan Allah swt sebagai tapak pelancaran kenderaan Buraq membawa Rasulullah saw ke langit Sidratul Muntaha pada malam 27 Rejab 620M. Di sini pernah didiami ramai para Rasul termasuk Nabi Ibrahim as, Nabi Ishak as, Nabi Yaakub as, Nabi Yusof as, Masjid Al-Aqsa secara menyeluruh adalah disempadani tembok besar (lihat foto atas). Arah Kiblat atau tempat imam adalah di kubah berwarna hitam (kiri). Rasulullah saw dimikraj(naik)kan ke langit dari tapak batu di bawah kubah emas (di dalam Masjid Kubah Batu atau “Dome of the Rock”).

Nabi Daud as, Nabi Sulaiman as, Nabi Zakaria as, Nabi Yahya as, Nabi Syuaib as, Nabi Musa as, Nabi Harun as dan Nabi Isa as. Semua mereka membawa aqidah Islam yang sahih lalu didustakan oleh kaum mereka. Di sini tempat bermulanya ajaran sesat Kristian dan Yahudi serta tempat mereka mengerjakan haji di beberapa lokaliti pada hari ini. Di sini tempat tuju Tentera Salib dalam Kurun 11 dan 12, melalui kempen perang suci mereka terhadap umat Islam. Di sini mereka ditewaskan oleh Salahuddin Al-Ayyubi pada tahun 1188M di Ain Jalut. Di sini mereka mereka datang semula bila British dan Perancis berpakat bersama menjajah Syam (Lubnan, Syria, Jordan & Palestin) pada tahun 1917M. Di sini pada tahun 1947M, British menyerahkan bumi Palestin yang sedang dijajahnya untuk diratah kejam oleh Yahudi hingga ke saat ini. Atas nama persidangan PBB, Negara-negara Barat dan sekutunya mengundi dan menang majoriti untuk kelahiran sebuah negara baru bernama “Israel” pada tahun 1948M.

Presiden Palestin, Mahmud Abbas (Parti FATAH) di sisi Presiden Bush. Bermacam-macam pelan dan arahan Amerika dan Israel telah FATAH laksanakan untuk melemah dan menghapuskan HAMAS. Namun hingga ke hari ini, kesemua kepatuhan itu belum pernah memuaskan kehendak Kumpulan Quardret (4 negara – Amerika, Perancis, Inggeris dan Rusia).

Demi untuk menjamin keselamatan Israel dan mengukuhkan cengkaman ke atas Negara-negara Arab, Amerika membelanjakan berbillion dollar dalam kempen menjajah Iraq. Penguasaan lobi AIPAC (Badan Lobi Israel di Amerika) oleh anggota-anggotanya yang berpengaruh mencengkam Amerika dalam ekonomi, media dan kempen politik, teknologi maklumat, ketenteraan dan sebagainya sudah cukup kuat memaksa sesiapa sahaj calun presiden Amerika untuk menyatakan walak (kesetiaan) kepada Israel, jika calun tersebut bercita-cita untuk menang dan merasa tinggal di Rumah Putih, kediaman Presiden. Calun Republikan, Mc Cain berkempen dan berkata Amerika bersedia untuk terus menjajah Iraq 100 tahun lagi. Calun Demokrat, Barrack Obama sebaik sahaja mengalahkan Hillary Clinton untuk menjadi calon Demokrat menentang Mc Cain, ketika dijemput berucap dalam sidang AIPAC berkata, “Jerusalem yang bersatu, akan terus menjadi ibu negara Israel”. Ketika ini bandar Jerusalem terbahagi dua, Jerusalem Barat milik Yahudi dan Jerusalem Timur majoritinya Islam tetapi kini dalam proses pengyahudian dengan pemusnahan banyak kampung Islam dan pembinaan taman perumahan Yahudi.

“The Photo of the Year” mendapat undi terbanyak dalam internet. Seorang jurufoto Perancis sempat merakam video di atas dan menyiarkan kekejaman Yahudi Israel ini di dalam internet. Mohd Durrah bersama ayahnya sedang berjalan. Tiba-tiba askar Yahudi menembak membabi buta. Si ayah menarik anak ke belakang tong untuk berlindung, melambai-lambai tangan, sambil berteriak, “Jangan tembak”. Si anak sangat ketakutan. Tiba-tiba muntahan peluru menembusi tubuh Mohd Durrah lalu dia menghembuskan nafas terakhir di pangkuan ayahnya. Si ayah tidak tahan menerima kenyataan kematian anaknya lalu pengsan dalam keadaan duduk meribai mayat anak kesayangannya.

“Mereka merancang. Allah (juga) merancang. Allah adalah sebaik-baik perancang” (Al-Anfaal). Lama sebelum British dan Yahudi menjajah Palestin, Allah swt mengIsrak(gerak)kan hambaNya pada malam 27 Rejab 620M, dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Rasulullah saw mengimami rasul-rasul dalam solat di Masjidil Aqsa, kemudian diMikrajkan ke langit. Nabi saw menolak arak dan memilih susu. Ini memberi isyarat kepada semua umat di dunia hari ini dan akan datang termasuk musuh-musuh Allah dan umat Islam bahawa jika rasul-rasul yang memimpin mereka sendiri sebelum ini telah menjadi makmum di belakang Nabi Muhammad saw, kamu juga suatu hari nanti akan menjadi makmum, dipimpin dan dibimbing oleh umat Nabi Muhammad saw di akhir zaman nanti biar hebat mana kekuatan tentera dan teknologi kamu dan biar seangkuh mana sikap kamu terhadap umat Islam. Umat Islam yang hidup dengan ajaran fitrah seperti susu, suatu hari nanti akan mengalahkan, memimpin dan membimbing kamu wahai umat yang tenggelam dengan arak, ibu segala maksiat.

( Foto oleh NASA) Pernah di University of Melbourne saya hadiri satu ceramah seorang ahli sains Islam dari Mesir yang banyak berceramah di serata dunia, namanya Professor Zaghlul Najjar . Beliau telah mengislamkan ramai ahli saintis Barat dan Rusia melalui ceramah Sains Islam yang disampaikannya. Beliau bercerita setelah selesai menyampaikan satu ceramah, seorang angkasawan bertemu beliau dan menceritakan pengalamannya apabila sedang dia naik dan menembusi lapisan udarakasa dunia untuk masuk ke langit beliau terasa pandangannya seperti orang mabuk dan tubuh badannya berasa ganjil seperti terkena sihir. Kata Prof Zaghlul Najjar, “Subhanallah! Kata-katamu sama seperti ayat Al-Quran, surah Al-Hijr, ayat 15 bermaksud, ‘Jika Kami bukakan bagi mereka pintu-pintu dari langit, lalu mereka terus mikraj(naik) di langit tersebut, nescaya mereka akan berkata, ‘Pandangan-pandangan kami telah dimabukkan, bahkan sesungguhnya kami kaum yang terkena sihir’ “.

Sabda Rasulullah saw, “Tidak tiba Hari Kiamat sehinggalah orang Islam memerangi Yahudi dan orang Yahudi bersembunyi di belakang pokok dan batu. Lalu berkatalah pokok dan batu, ‘Wahai orang Islam, wahai hamba Allah, sesungguhnya di belakangku ini ada orang Yahudi (bersembunyi). Marilah sini dan bunuhlah dia. (Semua jenis pokok dan batu berkata demikian) melainkan Al-Gharqad, kerana ia adalah pokok Yahudi” (Hadis).

Sabda Rasulullah saw, “Akan terus menerus satu golongan dari umatku terang-terangan di atas kebenaran. Orang-orang yang jahat tidak dapat memudharatkan mereka sehingga datang ketentuan dari Allah, sedang mereka masih dalam prestasi sedemikian. Para Sahabat ra bertanya, ‘Dimanakah mereka ya Rasulullah ?’. Rasulullah saw menjawab, ‘Di Jerusalem dan di sekitar Jerusalem’ ” (Hadis).

Kemenangan umat Islam di bumi Israk Mikraj, Palestin mengalahkan Yahudi yang menjajah dan Kristian yang mendokong mereka adalah pasti dan dijanji Allah swt dan RasulNya. Syaratnya ialah umat Islam kembali menghayati Islam dan mencapai semula taraf “hamba Allah” seperti dalam hadis di atas “.. Wahai orang Islam, wahai hamba Allah …” yang diiktiraf bukan sahaja manusia yang lain tetapi diiktiraf pokok dan batu. Sebaliknya jika ramai umat hari ini dan kerajaan di negara mereka belum mencapai taraf “hamba Allah”, hanya sekadar “hamba nafsu”, “hamba kerusi”, “hamba duit dan harta”, “hamba iblis dan godaannya” dan apa sahaja hamba kepada selain Allah, maka tiada gunanya slogan dan persidangan isu Palestin di hotel dan dewan yang mewah, oleh mereka yang memiliki pangkat dan gelaran yang kosong, kertas dan ucapan yang tidak membawa kepada amal yang serius. Jika sikap dan keadaan ini berterusan, Allah akan menggantikan mereka dengan kaum yang lain yang tidak seperti mereka. “Sekiranya kamu berpaling, Allah akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain. Kemudian mereka tidak seperti (perangai dan prestasi) kamu”. (Surah Muhammad:38). Sekian.

Posted by: umrahakib | 15 Julai 2009

SOLAT DAN SABAR

Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Yakni) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya” [Surah Al-Baqarah : ayat 45-46].

Posted by: umrahakib | 15 Julai 2009

PETUA KHUSYUK DALAM SOLAT

1. Menjaga makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain supaya datang dari punca yang halal tanpa syubhah.

2. Agar pemikiran tidak liar, sebelum solat lintaskan kematian seakan-akan amat hampir dengan kita serta solat tersebut merupakan sholat terakhir dan perlulah dijadikan yang terbaik.

3. Mendirikan sembahyang di awal waktu atau pertengahan waktu upaya tidak gopoh apakala masa hampir luput.

4. Membaca dengan baik (Khusnul Qori’ah), berusaha untuk memahami, mengerti bacaan dalam solat termasuk ayat Al-Quran yang dibacakan itu terutama sekali Al Fatihah, gerakan dan maknanya (Tafakhum). Ini kerana bacaan-bacaan dalam solat mengandungi banyak makna yang halus yang patut dimengertikan oleh orang yang melaksanakannya.

5. Rukun-rukun solat dilakukan secara tertib. Berusaha konsentrasi (Khudunul Kolbih), menyedari bahawa Allah memperhatikan sembahyang itu.

6. Rasa Malu (Haya’) perasaan malu terhadap Allah s.w.t., rasa takut (Khauf) kepada kekuasaan Allah.

7. Berharap serta yakin (Optimis) Allah menerima solat dan amal kita.

8. Hati diajak hadir/ikut, kehadiran hati dalam solat iaitu mengosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu dan yang tidak berkaitan dengan solat.

9.Membesarkan Allah dalam solat, merasakan kehebatan Allah dalam solat.

10. Menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang akan menghayalkan pemikiran.

11. Mendirikan sembahyang secara berjemaah.

12. Mengambil wuduk dengan sempurna.

13. Mengurangkan pergerakan anggota-anggota seperti tangan, kaki dan juga Mata ditumpukan kepada tempat sujud dan ketika tasahut melihat anak jari.

14. Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun mendirikan sembahyang bersendirian ataupun sekurang-kurangnya iqamat sahaja.

15. Ditegah bersembahyang dengan pakaian yang ada gambar, berwarna warni, bertulis, lukisan dan lain-lain kerana ia juga membuat orang lain hilang kekhusyukan ketika berjemaah.

Posted by: umrahakib | 15 Julai 2009

AYAT-AYAT KHUSYUK

1. Firman Allah s.w.t yang bermaksud “Telah berjayalah orang-orang yang beriman iaitu orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya”[Surah Al-Mukminun : ayat 1-2].
2. Firman-Nya lagi “Peliharalah segala sembahyangmu dan peliharalah sembahyang utama (Asar, Subuh) dan berdirilah untuk Allah (melalui solatmu) dengan khusyuk” [Surah Al-Baqarah : ayat 238]
3.”Maka kecelakaanlah bagi orang-orang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya.” [Surah Al-Ma'un : ayat 4-5]

Posted by: umrahakib | 30 Mac 2009

Pakej Umrah Tiram Travel

Sila mendaftar cepat Pakej umrah Tiram Travel :
20 April , 13 hari 5090,
CUTI SEKOLAH 29 n 31 April , 5890
Hubungi saya 0127810078
sila mendaftar sebelum terlambat .

Posted by: umrahakib | 27 Mac 2009

MUZAKARAH IBADAT HAJI DI JB

Insyallah Saya akan menghadiri muzakarah ibadat haji yang akan diadakan di hotel Puteri Pacific di Johor Bahru Pada 3 April sehingga 5 April . Jumpa saya di sana

Posted by: umrahakib | 12 Januari 2009

gambar jemaah haji 2008

http://www.flickr.com/photos/33814076@N02/?saved=1

Kiriman-Kiriman Sebelumnya »

Kategori

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.