
Ustaz Abdullah Zaik
Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, tindakan Ooi tersebut dilihat sebagai tidak sedarkan diri dan anti-Islam kerana menganggap Islam sebagai ekstrem, sedangkan dia sendiri merupakan seorang warganegara sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi.
Dalam kenyataannya kepada sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 2 Ogos lalu, Ooi mendakwa Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Mohd Razali Abdullah sebagai seorang ektremis agama hanya kerana menjadi ahli Jemaah Islah Malaysia (JIM), sebuah NGO Islam.
Sehubungan dengan itu, Ooi mengkritik pihak kerajaan negeri kerana telah membuka ruang bagi membolehkan seorang ekstremis Islam untuk menyusup masuk ke dalam sistem kerajaan tempatan.
“Kenyataan Jeff Ooi tersebut menggambarkan seolah-olah syariat Islam tidak layak diguna pakai dalam sistem pentadbiran, sedangkan Lim Guan Eng dan Kerajaan Negeri Pulau-Pinang pernah mewar-warkan untuk mengikut jejak langkah pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz,” kata Ustaz Abdullah Zaik.
Menurut beliau lagi, Ooi telah menghina umat Islam, menimbulkan kemarahan dan mengguris perasaan mereka. Tindakannya juga memperlihatkan sikap melampau walaupun baru memegang sedikit kuasa.
Justeru itu, ISMA mendesak supaya Jeff Ooi menarik balik kenyataannya yang mengaitkan syariah Islam sebagai ekstremis dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam, khususnya di negara ini.
“Lim Guan Eng juga harus bertanggungjawab dalam hal ini kerana bagaimana mungkin kerajaan negeri pimpinan beliau dapat mencontohi pentadbiran Umar Abdul Aziz jika ada di kalangan anggotanya yang bersikap anti-Islam,” tambah Ustaz Abdullah Zaik.

Komen Jemaah